Wednesday, April 28, 2010

SEBUAH KISAH...(siri 3)

KEBAHAGIAAN SEORANG SUAMI

"...Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.


Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.

Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta'ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.

Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata: " semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu...

Si suami meneruskan kata-katanya: " Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);

"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata:
"Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia." Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku..

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.

Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya.. Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya.


Masyaallah… Alangkah bahagianya mendapat keredhaan suami mcm nie… Adakah kita mampu lakukan seperti yg dilakukan terhadap suaminya sehingga pemergiannya diredhai dan membahgiakan suaminya….

(dipetik dari web seorang sahabat)

moga ada manfaatnya kpda yg sudi mengambil iktibar dan pengajaran...

Berhentilah MENCARI...Mulalah MENJADI

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya.”


Semua sibuk mencari. Jika sudah jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Sekiranya kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh faktor suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.


Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa.

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan. ..

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.


Bertemu dengan yang solehah, belum tentu solehahnya akan kekal. Bertemu dengan yang soleh, solehnya mungkin boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Oleh itu, seharusnya dan semestinya kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, dan bukannya untuk MENCARI.

(dipetik web seorang sahabat)

moga ada manfaatnya bagi yg sudi berfikir dan yg sudi mengambil manfaat!

wallahu a'alam....

al-faqir kame al-gajusi, 16:00pm, 28Apr2010

Tuesday, April 27, 2010

SAHABAT itu BUKAN MACAM...

Sahabat itu bukan macam main FUTSAL.
Mula-mula kejar...dah dapat sepak...


Sahabat itu bukan macam main SKATE.
Mula-mula gosok...lepas itu pijak...



Sahabat itu bukan macam main RAGBI.
Mula-mula tangkap...dah dapat tendang...



Sahabat itu bukannya macam PAMPERS..
sudah pakai, buang...



Sahabat
itu bukannya macam BARANG KEMAS.
Waktu baru beli pakai. Dah sengkek gadai...



Sahabat itu bukan macam PELANGI.
Hari cerah tidak ada...hujan gerimis baru muncul...



Sahabat itu bukan macam KERETA.
Rosak skit,jual...ambil kereta baru...



Sahabat itu bukan macam CHIPSMORE.
kejap ada kejap tak ada...



Sahabat itu bukan macam BANK.
Bila dah tak ada duit,pergi ke sana ambil...


SEBUAH KISAH (siri ke-2)

Kisah seorang isteri solehah......

Siti Muthi'ah

"FATIMAH anakku, mahukah engkau menjadi seorang perempuan yang baik budi dan isteri yang dicintai suami?"
tanya sang ayah yang tak lain adalah Nabi SAW.

"Tentu saja, wahai ayahku"

"Tidak jauh dari rumah ini berdiam seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya. Namanya Siti Muthi'ah. Temuilah dia, teladani budi pekertinya yang baik itu".

Gerangan amal apakah yang dilakukan Siti Muthi'ah sehingga Rasul pun memujinya sebagai perempuan teladan? Maka bergegaslah Fatimah menuju rumah Muthi'ah dengan mengajak serta Hasan, putra Fatimah yang masih kecil itu.

Begitu gembira Muthi'ah mengetahui tamunya adalah putri Nabi besar itu.

"Sungguh, bahagia sekali aku menyambut kedatanganmu ini, Fatimah. Namun maafkanlah aku sahabatku, suamiku telah beramanat, aku tidak boleh menerima tamu lelaki dirumah ini."

"Ini Hasan puteraku sendiri, ia kan masih anak-anak." kata Fatimah sambil tersenyum.

"Namun sekali lagi maafkanlah aku, aku tak ingin mengecewakan suamiku, Fatimah."

Fatimah mulai merasakan keutamaan Siti Muthi'ah. Ia semakin kagum dan berhasrat menyelami lebih dalam akhlak wanita ini. Lalu dihantarlah Hasan pulang dan bergegaslah Fatimah kembali ke Muthi'ah.

Khasiat Tiga Benda 'Keramat'


"Aku jadi berdebar-debar," sambut Siti Muthi'ah. Gerangan apakah yang membuatmu begitu ingin kerumahku, wahai puteri Nabi?"

"Memang benarlah, Muthi'ah. Ada berita gembira buatmu dan ayahku sendirilah yang menyuruhku ke sini. Ayahku mengatakan bahwa engkau adalah wanita berbudi sangat baik, karena itulah aku kesini untuk meneladanimu, Wahai Muthi'ah."

Muthi'ah gembira mendengar ucapan Fatimah, namun Muthi'ah masih ragu.

"Engkau bergurau sahabatku? aku ini wanita biasa yang tidak punya keistimewaan apapun seperti yang engkau lihat sendiri."

"Aku tidak berbohong wahai Muthi'ah, karenanya ceritakan kepadaku agar aku bisa meneladaninya."
Siti Muthi'ah terdiam, hening. Lalu tanpa sengaja Fatimah melihat sehelai kain kecil, kipas dan sebilah rotan di ruangan kecil itu.

"Buat apa ketiga benda ini Muthi'ah?"
Siti Muthi'ah tersenyam malu. Namun setelah didesak iapun bercerita.
"Engkau tahu Fatimah, suamiku seorang pekerja keras memeras keringat dari hari ke hari. Aku sangat sayang dan hormat kepadanya. Begitu kulihat ia pulang kerja, cepat-cepat kusambut kedatangannya. Kubuka bajunya, kulap tubuhnya dengan kain kecil ini hingga kering keringatnya. Iapun berbaring ditempat tidur melepas lelah, lalu aku kipasi beliau hingga lelahnya hilang atau tertidur."

"Sungguh luar biasa pekertimu, Muthi'ah. Lalu untuk apa rotan ini?"

"Kemudian aku berpakaian semenarik mungkin untuknya. Setelah ia bangun dan mandi, kusiapkan pula makan dan minum untuknya. Setelah semua selesai, aku berkata kepadanya: "Oh, kakanda. Bilamana pelayananku sebagai isteri dan masakanku tidak berkenan dihatimu, aku ikhlas menerima hukuman. Pukullah badanku dengan rotan ini dan sebutlah kesalahanku agar tidak ku ulangi."

"Seringkah engkau dipukul olehnya, wahai Muthi'ah?"
tanya Fatimah berdebar-debar.

"Tidak pernah, Fatimah. Bukan rotan yang diambilnya, justru akulah yang ditarik dan didekapnya penuh kemesraan. Itulah kebahagiaan kami sehari-hari".

"Jika demikian, sungguh luar biasa, wahai Muthi'ah. Sungguh luar biasa! Benarlah kata ayahku, engkau perempuan berbudi baik."
kata Fatimah terkagum-kagum.


P/S: Para wanita, isteri-isteri kepada suami...kisah Muthi'ah ini cukup memberi pengajaran dan pedoman untuk kalian membina budi pekerti dalam proses menjadi wanita dan isteri solehah. Jadikanlah kisah ini sebagai motivasi untuk kalian terus menjadi insan yang terbaik di mata suami dan di mata Allah. Moga kalian mendapat redha suami dan juga Allah.

Para lelaki dan suami, tidak perlu untuk kita hanya menyuruh isteri sahaja yang menjadi solehah tetapi diri sendiri tidak soleh. Anda adalah pemimpin bagi wanita, oleh kerana itu anda perlulah lebih kuat dan lebih soleh dari isteri anda. Jangan hanya pandai mengarah itu dan ini, tapi diri sendiri tidak dapat memberi tunjuk ajar yang terbaik buat isteri dan anak2.

Begitulah kisahnya kali ini...moga diri ini terus istiqamah dalam membina diri yang lebih mantap dalam usaha mendapat redhaNya.

Wallahua'alam...

al-faqir kame al-gajusi, 23:41pm, 27Apr2010

Monday, April 26, 2010

Neraka sebagai AMARAN

Bismillahirrahmanirrahim....'amma ba'du...

Alhamdulillah, pada malam selasa yang syahdu ini aku sempat meluangkan sedikit masa mengarang sedikit coretan buat pengisian jiwa yang dirasi kosong ini. Selepas solat Maghrib berjemaah kat masjid Melor tadi, ada kuliyah tafsir Al-Quran yang disampaikan oleh al-fadhil Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (SU Akhbar Tok Guru). Malam ni beliau sempat menafsirkan beberapa potong ayat dari surah al-Muddatthir. Dan aku bukanlah seorang ustaz atau orang yang pakar untuk cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran yang suci itu, namun di sini aku cuba hendak berkongsi intisari atau isi-isi penting yang sempat aku ingat di dalam dada ini, ku fikirkan adanya lebih baik aku menulisnya di sini daripada ianya lenyap terus dari dalam dada aku ini dan tidak memberi makna sedikit pun bagi aku. Sesunggunya diri ini penuh dengan segala kelemahan dan Allah jua yang Maha Kuat. Moga dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat memberi ingatan baik buat diriku atau sesiapa sahaja yang sudi mengambil pengajaran dari ayat2Nya.

Firman Allah yang bermaksud:


Sesungguhnya Neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, (al-Muddatthir,35)
Bila kita menyebut MALAPETAKA atau MUSIBAH atau BENCANA atau perkataan yang sama waktu dengannya, apekah yang reaksi atau respon kita?Apakah yang otak kita cuba bayangkan apabila disebut kepada kita perkataan ini?Ya, mungkin dengan tiba2 ada yang terbayangkan tsunami, gempa bumi, puting beliung, ribut taufan, kemalangan jalan raya, dan bermacam2 jenis kejadian yang buruk lain yang timbul dalam kotak pemikiran kita.

Bahkan, bagi sesetengah orang, malapetaka bagi dia ialah bila anak2 mereka tidak berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran... Anak2 tidak berjaya seperti anak2 orang lain. Itu juga bencana bagi sesetengah manusia zaman sekarang, tapi bila anak2 tidak tahu solat, tidak tahu mengaji al-Quran, tidak tahu hukum hakam agama, tidak tahu menutup aurat, tidak tahu itu dan tidak tahu ini, tapi bagi mereka perkara itu sudah biasa dalam hidup mereka. Dengan kata lain, mereka tidak kisah bila anak mereka tidak tahu solat...mereka juga tidak kisah bila anak mereka tidak menutup aurat...malah mereka juga tidak kisah kalau anak2 mereka tidak tahu agama mahupun kenal Allah. Inilah susana bila manusia tidak berpegang kepada agama. Manusia akan kembali menjadi jahil seperti ummat terdahulu.

Oleh sebab itu Allah mengatakan, Neraka Saqar itu adalah musibah yang paling besar. Itulah puncak musibah bagi kita ummat manusia ini, tidak kira kepada manusia yang kafir mahupun yang beriman. Jadikanlah neraka ini (bukan sahaja neraka Saqar, bahkan neraka2 lain) sebagai motivasi bagi kita ummat islam yang beriman ini untuk supaya sedaya upaya cuba mengelak diri kita dari terjerumus ke dalam golongan yang bakal memasuki neraka. Ya, malapetaka di dunia teramatlah kecil bagi Allah, kerana itu merupakan ujian yang Dia berikan bagi kita. Siapa yang sabar dengan ujian itu, ganjaran yang teramat besar baginya di Akhirat. Dan siapa yang tidak sabar dengan ujian Allah, maka baginya balasan yang teramat dahsyat menantinya di sana nanti.Malapetaka yang berlaku di dunia masih boleh dielakkan, malah masih boleh dibaiki. Contohnya, apabila berlaku gempa bumi, maka banyaklah bangunan yang runtuh...ada manusia yang cedera...malah disebabkan itu juga, ramai yang perniagaannya mengalami kerugian. Tapi, jika kita fikirkan dan jika kita lihat, beberapa minggu,bulan, atau tahuh selepas itu, segala bangunan yang runtuh itu akan dibangunkan semula...orang2 yang sakit kembali sihat...dan perniagaan juga kembali untung.Itu resam di dunia. Tapi lain pula halnya di akhirat.

Di Akhirat, suasana seperti itu tidak lagi akan dirasai oleh manusia. Kerana mereka tahu musibah yang bakal mereka lalui nanti tidak akan sama dengan dunia. Di sana, mereka tiada tempat bergantung, tiada tempat hendak dituju, tiada wang ringgit yang laku untuk meminta pertolongan dan bantuan orang lain, tiada kuasa untuk menyogok orang, malah mereka tersangat miskin mengharapkan rahmat dari yang Maha Berkuasa pada hari itu. Di mana kita pada hari itu?

Firman Allah yang bermaksud:

Yang menjadi amaran bagi umat manusia, (al-Muddatthir,36)

Ya, seperti yang dikatakan, Neraka Saqar ini menjadi amaran bagi umat manusia. Amaran bagi ummat manusia yang kafir. Allah memberi amaran neraka kepada mereka yang kafir atas kekafiran mereka itu. Dan Allah jua memberi amaran neraka kepada mereka yang beriman supaya jangan melakukan perkara2 yang menyebabkan mereka terjerumus ke dalam neraka. Dan beruntunglah bagi mereka yang terlepas dari seksaan neraka.

Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) bagi sesiapa di antara kamu yang mahu maju (dalam mengerjakan kebaikan) atau yang mahu mundur (daripada mengerjakannya).(al-Muddatthir,37)

Amaran dan amcaman itu ditujukan buat kita semua ummat manusia, tidak kira yang rajin melakukan amal ibadat dan kebaikan atau yang tidak mahu melakukannya. Ancaman ini sekali2 tidak akan boleh diubah lagi. Itulah ketetapan dari Allah. Siapa yang rajin membuat amal ibadah, maka akan diberikan ganjaran dan siapa yang tidak mahu, maka akan diberikan juga balasan baginya. Pilihan ada pada diri kita sendiri...

Firman Allah lagi yang bermaksud:


Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,(al-Muddatthir,38)
Dan kita perlu ingat bahawa segala ganjaran dan balasan yang Allah berikan itu semuanya bergantung kepada apa yang kita kerjakan. Dan kita akan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan dan amal yang kita laksanakan didunia ini. Walau sebesar zarrah sekalipun, kebaikan atau kejahatan yang dilakukan, ia tetap akan dinilai oleh Allah. Begitulah caranya Allah membuat perhitungan terhadap hambaNya. Maka, perlulah kita selalu muhasabah diri dengan segala amal yang kita lakukan kerana setiap kata2, perbuatan dan apa yang kita fikirkan itu sentiasa dinilai oleh Allah swt.

Kecuali puak Kanan,(al-Muddatthir,39)

Dan beruntunglah manusia yang tergolong di pihak yang kanan ini (ashabul yamin). Mereka digelar golongan kanan kerana mereka ini menerima buku amalan mereka dengan tangan kanan dan celakalah bagi mereka yang menirima buku amalan dengan tangan kiri. Bagi mereka di pihak kanan, sudah pastilah mereka akan memasuki syurga. DAn bagi mereka yang di pihak kiri, bagi mereka neraka yang amat dahsyat.

Ustaz Fadhli ada menyebut bahawa semasa di kahirat nanti, di sana akan terdapat 3 jenis golongan manusia

  1. Manusia yang menerima buku amalan dengan tangan kiri - mereka ini pasti akan memasuki neraka.
  2. Manusia yang menerima buku amalan dengan tangan kanan - mereka ini pasti akan memasuki syurga tetapi setelah selesai dihisab oleh Allah swt.
  3. Manusia yang tidak menerima buku amalan tapi dengan rahmat Allah mereka akan segera memasuki syurga Allah tanpa perlu melalui proses hisab. Mereka inilah golongan VVIP di akhirat kelak.
Di manakah kita dalam 3 golongan itu?Aku tinggalkan persoalan itu untuk dijawab oleh diri sendiri. Tepuk dada, tanyalah iman.Muhasabahlah diri selalu. Moga kita berada sekurang2nya di pihak yang kanan, Insyaallah.

Ameen...(^_^)
Wallahu'aalam.

alfaqir Kame al-gajusi, 00:10am, 27apr2010

Doa Buat Sahabat

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…
Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya.

Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…
Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.


By:Seruling Senja

Ingat! Itulah H.A.T.I



"...Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah HATI." (H.R Bukhari & Muslim)

Pergelutan dan peperangan sering terjadi baik dalam konteks dunia mahupun dalam konteks diri kita sendiri. Hal ini, sesungguhnya suatu perkara yang pasti akan berlaku kepada setiap jiwa manusia sama ada ia mahu atau tidak mahu, dan pergelutan inilah yang bakal menentukan apakah kita akan tetap menjadi manusia atau akan menjadi binatang yang bertopengkan manusia. Itulah peperangan dan pergelutan antara rayuan syaitan laknatullah dan seruan agama. Antara kebatilan dan kebenaran.

Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama berjuta jeritan. Menanti suatu kepuasan.

Dunia ini menawarkan kenikmatan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tapi, hendak ikut siapa?

Demikianlah peperangan itu berlaku dalam jiwa kita.

Kedua-dua belah pihak bertarung dalam kancah peperangan, iaitu HATI. Jika Iblis yang menang, manusia itu akan kehilangan kemanusiaannya. Dan apabila malaikat (agama) yang menang, ia akan menjadi manusia yang luhur, arif dan bijaksana.

Setiap kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang, ia bagaikan bintik-bintik hitam yang mengotori dan megeraskan hatinya. Semakin ia berani melakukan maksiat, kedudukan Iblis bertmbah kuat. Dan... Iblis mengibarkan benderanya. Maka katika itulah hati akan menderita penyakit. Suatu penyakit yang berbahaya namun tidak dapat dirasai. Penyakit yang sukar ditemukan doktornya. Penyakit yang akan menghantarkan seseorang ke NERAKA!


Namun, kita tidak bersendirian. Kita punyai Allah. Kita punya Rasulullah. Kita juga punyai azimat Al-Quran dan As-sunnah. Ini semua jalan mujahadah bagi kita untuk terus membina kekuatan spritual dalam diri dalam mempersiapkan diri untuk berperang. Kerana peperangan ini sifatnya berterusan sampai ke hujung nyawa, oleh itu kita perlu sentiasa menguatkan iman sebagai senjata utama untuk mengalahkan tentera syaitan yang sentiasa bermaharajalela dalam jiwa kita. Ya, kita memang lemah. Tidak berdaya. Tidak punya kekuatan. Tidak ada sumber kekuatan. Yang ada semua itu adalah Pencipta kekuatan dan segala sumber kekuatan ada padaNya. Jadi, sebagai manusia yang lemah, bergantung haraplah padaNya selalu. Mohonlah sumber kekuatan dariNya, kerana Dia sahaja yang mampu membantu kita yang serba lemah ini.

Allah itu sifatnya "as-Somad". Firman Allah (bermaksud),

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."
(al-Ikhlas, 2)


Oleh itu, jangan dirisaukan. Selagi kita punyai iman, kepada Dialah kita memohon sebarang hajat, tidak kepada makhlukNya. Moga Allah perbaiki gumpalan darah yang bernama "hati" dalam diri kita ini. Moga, dengan baik hati ini, akan baiklah jasad dan keseluruhan ruhani dan jasmani kita dalam menghadapi segala ujian yang diberikan.

Allahuakbar! Wallahua'alam.

al-faqir kame al-gajusi, 18:27pm

Saturday, April 24, 2010

Bukan Kerana Nama


Jangan kau pandang bibir yang manis
Kerana dia bisa menghancurkan

Jangan kau pandang wajah yang indah

Kerana dia bisa meracunmu

Dengarlah hai teman
Dengarkan bersama

Aku menulis bukan kerna nama

Kerna sifat kasih
Pada sesama insan

Dan menyatakan kasih sayangmu

Kita sama semuanya sama

Apa yang ada hanyalah kehidupan



Jangan kau dengar puisi dusta

Kerana dia bisa merosakkan jiwamu
Dengarkanlah puisi di pusaka

Yang telah turun temurun hari ini



Jangan kau alas hatimu itu

Dengan secebis warna kehitaman

Dialah seperti anai-anai

Lambat laun hancurlah dirimu

by: Ramli Sarip

Kenduri orang...kenduri kita?

Alhamdulillah...syukur ya Allah...di tengah2 kesunyian tengah malam ini, aku sempat mengarang sedikit coretan perihal apa yang berlaku hari ini...

Alhamdulillah...sepupu (sebelah arwah mak) aku telah selamat menamatkan zaman bujangnya hari ini. Walaupun aku tidak rapat dengannya, namun Alhamdulillah...kegembiraan yang terpancar dari riak wajahnya jelas menggambarkan kepadaku betapa indahnya sebuah perkahwinan itu...Namanya, K.a.r.t.i.n.i...nama penuhnya aku kurang pasti sebab aku memang tidak rapat dengan dia sejak kecil...hehehe...lawak bukan mempunyai sepupu yang tidak rapat dengan kita?Tapi, itulah hakikatnya...dengan keluarga dia memang aku kurang rapat sejak kecil, tapi tidak bermakna tidak mesra. Kami membesar dengan susana kehidupan yang berbeza, kampung pun berbeza, mungkin itulah puncanya kami tidak rapat. Aku percaya, ramai yang mengalami nasib yang sama seperti aku, punyai sepupu yang ramai, tapi tidak begitu rapat disebabkan oleh faktor jarak dan masa yang memisahkan. Apapun, alhamdulillah...giliran dia, jodoh dia,rezki dia dan juga taqdir dia sudah sampai...Tahniah diucapkan kepada kazem aku...hehehe...

aku doakan moga kalian berdua berbahagia dalam melayari bahtera yang bernama "alam rumahtangga" ini.

Hmm, belah pak sedara aku ni, cuma tinggal sorang je lagi anak dia yang masih bujang, lelaki...tapi alhamdulillah, baru je bertunang baru2 ni...insyaallah, mungkin hujung tahun akan melangsungkan majlis walimahnya...dengar cite orang KL bakal zaujahnya....

Fuhhh...tugas aku hari ini cukup panas sebab kena tolong kacau gulai dan jadi "jo kako" di bawah panas terik.Tak sampai pun beberapa jam, baju yang aku pakai sudah basah...hehehe.Memang panas...almaklumlah, sekarang musim kemarau teruk...sampai air perigi pun kering...dahsyatt...

Hmm,bila melihat orang kawen, kadang2 membuatkan hati ini sedikit teruja...terasa nak kawen cepat2...rasa dengki, jeles pun kadang ada jugak...hehe...maklumlah, aku masih tidak mampu lagi untuk mengecapinya lagi buat masa terdekat ini. Banyak lagi perkara yang masih aku cari dan selesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Cuma, sekarang ini, yang hanya aku mampu lakukan ialah menghadiri kenduri2 kahwin sahabat2, spepupu2 dan jiran2...insyaallah, suatu hari nanti aku pasti akan merasainya jua...bersabarlah wahai hati..

Setiap yang berlaku ada sebab musababnya...Allah tidak sekali2 pernah menganiayai hambaNya...dan aku tahu Allah maha Bijaksana dalam mengatur kehidupan hambaNya...Allah tidak zalim...Allah tidak pernah mengabaikan hambaNya...sifat2 yang lemah itu hanya layak ada pada manusia, bukan pada sang Pencipta. Maha suciMu ya Allah...Siapa2 yang belum berkahwin, dan mengalami nasib yang sama seperti aku, jangan risau...tidak perlu rasa kecewa...tidak perlu sedih dan marah dengan nasib yang menimpa diri...kerana ape yang kita alami ini hanyalah satu tarbiyah dari Allah. Ya, t.a.r.b.i.y.a.h...pendidikan untuk kita semua...aku yakin, bila dah sampai jodoh yang Allah sudah tetapkan, takkan lari walau sesaat, insyaallah kita semua akan bertemu dengan jodoh yang Dia telah tetapkan buat kita semua. Ada yang cepat jodohnya...seusia belasan tahun sudah mendirikan rumah tangga...ada yang seawal 20-an, 30-an, 40-an, malah ada yang lebih lanjut usianya juga baru bertemu jodoh yang pertama. Jadi, usah hairanlah, bila tiba saatnya, sampailah jodoh kita.

Memang benar, kata seorang sahabat, "jodoh ini MISTERI". Maknanya, ia diluar lingkungan upaya kita untuk bercakap mengenainya. Ada yang sudah bertahun2 bercinta, tapi akhirnya berpisah jua...ada yang sudah bertunang, tapi disebabkan takda jodoh, maka putus jua akhirnya...malah, ada yang sudah berkahwin, namun beberapa jam selepas akad nikah kemudian, si suami kemalangan...inilah realiti kehidupan manusia, tidak lepas dari penguasaan Allah. Apa yang Allah taqdirkan, itulah yang akan terjadi...jadi, jangan sia2kan hidup kita dengan mencari cinta manusia kerana cinta ini selalunya bermusim. Kita aka sia2 jika kita tidak berjaya mendapat cinta dari Allah. Kerana, cinta Allah adalah cinta yang pasti, tidak bermusim malah akan kekal hingga ke akhirat. Dan puncak cinta ini ialah bila kita dapat melihat wajah Allah, kekasih yang kita cintai semasa di dunia. Itulah nikmat terbesar yang Allah kurniakan kepada para pencinta Allah semasa hidupnya didunia ini. Kekasih yang boleh memberi keselamatan kepada kita semasa di Akhirat. Tapi, mampukah kekasih kita di dunia yang kita dok kejar2 selama ini memberi keselamatan kepada kita di dunia dan jua akhirat?aku tinggalkan persoalan ini untuk sama2 kita muhasabah diri...

Berhentilah mengejar, tapi mulalah menjadi...


Ya, akhirnya aku berharap aku dapat berhenti mengejar wanita2 yang solehah kerana aku yakin, selagi aku belum soleh, aku belum layak untuk memiliki wanita yang solehah. Memang, lelaki yang baik itu sudah semestinya disediakan untuk wanita2 yang baik2 dan solehah, dan begitulah juga sebaliknya. Insyaallah dengan masa yang ada ini aku perlu persiapkan diri ini menuju jalan yang soleh, jika aku tersungkur awal sebelum bertemu jodoh, aku tidak akan sekali2 menyesal, kerana aku sudah berada di jalan yang betul, iaitu jalan yang diredhai oleh Allah swt. Moga2 Allah meredhai kita semua yang berada di jalanNya...Moga2 suatu ketika itu akan sampai jua buat kita, insyaallah....nantikan dengan penuh keyakinan dan kesabaran...moga ia betul2 menjadi milik kita....(^_^)

al-faqir kame al-gajusi, 2.00 pm


5 Perkara Penyebab Kebahagiaan

Abdullah bin Umar bin 'Ash berkata:

Ada 5 perkara menyebabkan KEBAHAGIAAN apabila kita beramal denganya:

1-Menyebut " لا إله إلا الله محمد رسول الله setiap waktu.


2-Melafazkan " إنا لله وإنا إليه راجعون ولا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم " ketika ditimpa musibah.

3-Apabila mendapat nikmat menyebut '' الحمد لله رب العالمين " .

4-Memulakan setiap pekerjaan kebajikan dengan " بسم الله الرحمن الرحيم "

5-Apabila tersilap melakukan dosa menyebut " أستغفر الله العظيم واتوب إليه"

Friday, April 23, 2010

Info Kesihatan...

Tahukah anda mengamal minum secawan air teh "O" setiap pagi boleh mengawal berat badan anda. Isyaallah jika anda mengamalkannya, berat badan anda akan berkurangan.

Al-Quran juga ada mengajar kita menjaga kesihatan seperti membuat amalan seperti:-

1. Mandi Pagi sebelum subuh @ sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik. Air sejuk yang meresap kedalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang mengamal mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.

2. Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk setiap pagi. Mujarabnya Insayallah jauh dari penyakit (susah nak kena sakit).

3. Waktu sembahyang subuh disunatkan kita bertafakur (iaitu sujud sekurang kurangnya seminit selepas membaca doa). Ia boleh mengelak dari sakit pening atau migrin. Ini terbukti oleh para saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari perlu kita sujud. Ahli-ahli sains telah menemui beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yg tidak dipenuhi darah. dengan bersujud makan darah akan mengalir keruang berkenaan.

4. Dalam kitab juga ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan makanan laut. Nabi pernah menegah kita makan ikan bersama susu. di kuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai dimana dalam badan ayam mengandungi ion (+) manakala dalam ikan mengandungi ion (-). jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tidakkan balas biokimia yng terhasil yang boleh merosakkan usus kita.

5. Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menjumpa bahawa enzime banyak terkandung di celah jari jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzime sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam)

p/s: Selamat beramal untuk kesihatan yang optimum....(^_^)

C.I.N.T.A

Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.


Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hinggakan kita tidak nampak pintu yang telah pun dibukakan untuk kita.


Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami.

Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidakt ahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang.


Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali!

Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya iatidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda.Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang.

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum.


Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramat rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar.


Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang inginanda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan.


Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia.


Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasaianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga.


Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka.


Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis,mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka.


Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan.


Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam.


Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang disekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

Sebuah kisah...

Kasih sayang…


Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah. Petang itu, pulang saja dari sekolah, ayah memanggil kami berdua.Dia memintaaku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.


"Siapa ambil duit ayah?"
tanya ayah bagai singa lapar.


Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu,cuma tunduk memandang lantai.


"Baik,kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!"
sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.


Tiba-tiba,adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata,


"Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun air mata adik tak tumpah. Setelah puas melihat adik terjelepok dilantai, ayah merungut:


"Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri.Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk. Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar. Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata,


"Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"


Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik. Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti. Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata,


"Zah,kedua-dua anak kita cemerlang dalampelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!"
aku terdengar ibu teresak-esak.


"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu.


"Ayah,saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam.


Panggggg....

sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan,"

aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.


"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dini hari itu adik tiada di biliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat,


"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah. Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa:



"Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!



"Pemuda kampung?"bisikku.


"Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen.


"Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"


Sambil tersenyum dia menjawab,


"Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahus aya adik kakak?"
Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik. Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara,

"Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata,


"Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata puntak terucap. Aku rangkul adik dandadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan. Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Akul lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.


"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."
"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."
Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.
"Sakit ke?"
aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.
"Tak...Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."
Apalagi...aku menangis seperti selalu. Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.
"Kalau adik terima jawatan tu, apakata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kataku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama,kak?"katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya. Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya,

"Siapakah orang yang paling anda sayangi?"
Spontan adik menjawab,
"Selain emak,kakak saya...."
katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidak ku ingati.
"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar. "
"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."
Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.


Begitulah kisahnya....tersentuh bukan?(^_^)
P/S: Hargailah ibu bapa, adik beradik kita dan sesiapa sahaja yang berada disekeliling kita...kerana dalam tidak sedar mereka pernah berjasa kepada kita semua...









































Thursday, April 22, 2010

Penyakit Rohani

Bismillahirrahmanirrahim...
Ku mulakan menaip blog kali ini dengan kalimah toyyibah basmalah...ya, tidak ada berkat jika tidak kita mulakan sesuatu pekerjaan dengan memuji2 Allah yang Maha segalanya....puji syukur yang tak terhingga jua buatMu ya Allah kerana memberi kesempatan kepadaku meneruskan penulisan dalam blog ini...Alhamdulillah...moga ada manfaatnya bagi kita yang beriman ini...
"Penyakit Rohani" adalah merupakan tajuk pertama yang ingin dikongsikan bersama2 sahabat sekalian...
Apakah yang kita bayangkan apabila kita mendengar perkataan "PENYAKIT" ini?Sudah tentulah rata2 kita sebagai manusia ini akan terbayangkan dengan penyakit2 yang biasa kita dengar sama ada ianya kronik ataupun tidak kan?Kanser...sakit jantung...kencing manis...darah tinggi...darah rendah...leukimia...demam...H1N1...AIDS....denggi...selsema...dan 1001 macam jenis penyakit yang kita pernah dengar dan setengah2nya kita sendiri pernah mengalaminya...betul tak?
Baiklah..."penyakit" itu sememangnya akan memberi masalah kesihatan kepada yang mengalaminya...dan penyakit2 itu sudah biasa kita dengar...dan setengah2 darinya dapat dirawat dan ada yang tidak dapat dirawat oleh Doktor mahupun ahli perubatan.Namun sahabat2 sekalian, ini semuanya penyakit yang menyerang fizikal manusia...dan ini bukanlah ape yang ana ingin bincang dan kongsikan dalam isu atau topik kali ini....isu kali ini ialah mengenai PENYAKIT ROHANI...dan apa yang penting,ia bukan berkisar mengenai orang yang bernama ROHANI yang sakit, tapi orang yang mempunyai ROHANI yang SAKIT....begitulah adanya.....
Hmm, kali ini ana ingin memetik sebuah hadis yang menjadi pesanan Rasulullah s.a.w kepada Saidina Ali r.a:
Wahai Ali, setiap SESUATU pasti ada PENYAKITnya:
Penyakit BICARA adalah BOHONG,
penyakit ILMU adalah LUPA,
penyakit IBADAH adalah RIAK,
penyakit AKHLAK MULIA adalah KAGUM kepada DIRI SENDIRI,
penyakit BERANI adalah MENYERANG,
penyakit DERMAWAN adalah MENGUNGKAP PEMBERIAN (mengungkit2), penyakit TAMPAN adalah SOMBONG,
penyakit BANGSAWAN adalah MEMBANGGA DIRI,
penyakit MALU adalah LEMAH,
penyakit MULIA adalah MENYOMBONG DIRI,
penyakit KAYA adalah KIKIR,
penyakit ROYAL adalah HIDUP MEWAH dan
penyakit AGAMA adalah NAFSU yang DIPERTURUTKAN…”
Ketika berwasiat kepada Ali bin Abi Thalib r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Wahai Ali, orang yang RIAK itu mempunyai TIGA CIRI iaitu:
1. Rajin beribadat ketika dilihat orang.
2. Malas ketika sendirian.
3. Ingin mendapat pujian dalam segala perkara.
Wahai Ali, jika engkau dipuji orang, maka berdoalah: “Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik daripada yang dikatakannya, ampunilah dosa-dosaku yang tersembunyi darinya dan janganlah kata-katanya mengakibatkan seksaan bagiku…”
Ketika ditanya bagaimana cara mengubati hati yang sedang resah dan gundah gulana, Ibnu Mas’ud r.a berkata:
“Dengarkanlah bacaan al-Quran atau datanglah ke majlis zikir atau pergilah ke tempat yang sunyi untuk berkhalwat dengan Allah s.w.t. Jika belum terubat juga, maka mintalah kepada Allah s.w.t hati yang lain kerana sesungguhnya hati yang kamu pakai bukan lagi hatimu….”
Alhamdulillah...itulah sedikit sebanyak maksud hadith Rasulullah dan kata2 sahabat yang dipetik untuk menjadi renungan bersama...insyaallah, moga ada manfaatnya...
Wallahu'aalam....ilalliqa'...

Wednesday, April 14, 2010

MUQADDIMAH siri 2...

Rasulullah saw bersabda, "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau diam". (HR. Bukhari dan Muslim)


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalamiin…Wassolatu Wassalaamu ‘Ala Sayyidina Muhammad Asyrafil Mursaliin wa ‘Ala Aalihi wa Sohbihi Ajma’iin...wa ba'd.....Ana mulakan penulisan blog ini dengan merangkap setinggi-tinggi puji bagi Allah, Tuhan seru sekalian alam...

“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIHANI.SEGALA PUJI BAGI ALLAH, TUHAN SEKALIAN ALAM…TUHAN YANG MAHA PEMURAH LAGI YANG MAHA MENGASIHANI…TUHAN YANG MEMILIKI HARI QIAMAT. KEPADA ENGKAU AKU MENGABDIKAN DIRI DAN KEPADA ENGKAULAH AKU MEMOHON PERTOLONGAN…BERILAH KAMI PETUNJUK KE JALAN YANG LURUS, JALAN MEREKA (NABI-NABI) YANG ENGKAU TELAH KURNIAKAN NIKMAT, BUKAN JALAN ORANG-ORANG YANG DIMURKAI DAN ORANG-ORANG YANG SESAT…”

Selawat dan salam juga dihadiahkan kepada junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW atas jasa dan pengorbanan agung baginda dalam berjuang menyampaikan ajaran dan risalah Islam atas muka bumi ini bagi manfaat makhluk sekalian alam...selawat dan salam juga ditujukan kepada ahli keluarga baginda, dan para sahabat radhiallahu anhum ajmaiin...moga Allah meredhai mereka semua dan ana jua Insyaallah....

Alhamdulillah...setelah 2 hari yang serius menggodek benda alah "blog" ni, akhirnya ana berpeluang untuk mencoret sesuatu sebagai permulaan kepada blog ana ini...terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada ukhti Maisarah dan ukhti Zawatil atas bantuan kalian dalam memberi tunjuk ajar serta membantu menggodek blog ini saehingga mencapai kepada tahap yang memuaskan ini...insyaallah, blog ini akan diupgrade dari hari ke hari sebagaimana yang ana nyatakan sebelum ini (dalam muqaddimah)...hehe..terima kasih sekali lagi ye...moga Allah jua yang membalas budi baik kalian...(pasni nak mintak tolong lagi nih..hehe)

Insyaallah, dengan terbinanya blog ini akan sedikit sebanyak membuat ana semakin rajin untuk membaca,memerhati, dan mencari maklumat yang berharga untuk dimuatkan dan dikongsikan bersama dalam blog ini...tidak lain dan tidak bukan, tujuan utama pembikinan blog ini sudah semestinya untuk MEMBERI MANFAAT terutamanya kepada DIRI SENDIRI dan juga untuk MENGAMBIL MANFAAT bagi rakan-rakan dan sesiapa yang sudi mengambilnya dari blog ini...

"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah ia mengatakan yang baik atau diam."

Inilah dia misi dan visi blog ini...indah bukan?

"MENGATAKAN YANG BAIK atau DIAM"

Tidak dinafikan, ada yang membuat blog untuk menceritakan perihal peribadi atau perihal diri sendiri...ada yang membuat blog untuk tujuan perniagaan (orang kampung saya kata "business")...ada jugak yang bertujuan untuk berdakwah,menyampaikan ilmu2 agama (pendek kata untuk keagamaan)...ada jugak yang cipta blog khusus untuk anak kesayangan (biasanya orang yang baru dapat anak sangat teruja menceritakan pengalaman bersama anak dan menceritakan perkembangan anak, suami atau isteri kesayangan)...ada jugak yang buat blog untuk tujuan politik, memfitnah dan bermacam2 tujuan yang boleh dicipta sendiri oleh para bloggers...NAMUN, apepun tujuannya...bagi ana, insyaallah akan ana pastikan segala penulisan atau tulisan dalam blog ini tidak bertujuan untuk memfitnah siapa2 atau mengenakan siapa2 sama ada kawan ataupun lawan (kecuali terpaksa menegakkan yang hak)...Elemen ilmu dan dakwah insyaallah akan ana terapkan dalam blog ini...blog ini bukan semata2 untuk cakap kosong sahaja, malah akan cuba menyeru penulis dan pembaca untuk lebih memahami Islam sebagai satu JALAN HIDUP...

Rasanya, sekadar itu dahulu siri Muqaddimah ini...Insyaallah, jika diizinkan Allah akan ana sambung lagi...Ilalliqa'...Wassalamu'alaikum warahmatullah.....