"...Ingat! Sesungguhnya dalam jasad (manusia) ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ingat! Itulah HATI." (H.R Bukhari & Muslim)
Pergelutan dan peperangan sering terjadi baik dalam konteks dunia mahupun dalam konteks diri kita sendiri. Hal ini, sesungguhnya suatu perkara yang pasti akan berlaku kepada setiap jiwa manusia sama ada ia mahu atau tidak mahu, dan pergelutan inilah yang bakal menentukan apakah kita akan tetap menjadi manusia atau akan menjadi binatang yang bertopengkan manusia. Itulah peperangan dan pergelutan antara rayuan syaitan laknatullah dan seruan agama. Antara kebatilan dan kebenaran.
Memang, sebuah nafas panjang ditarik dan dihembuskan. Bersama berjuta jeritan. Menanti suatu kepuasan.
Dunia ini menawarkan kenikmatan. Kaki, hendak ke mana melangkah? Antara syaitan dan malaikat bergelut. Berebut menguasai diri. Tapi, hendak ikut siapa?
Demikianlah peperangan itu berlaku dalam jiwa kita.
Kedua-dua belah pihak bertarung dalam kancah peperangan, iaitu HATI. Jika Iblis yang menang, manusia itu akan kehilangan kemanusiaannya. Dan apabila malaikat (agama) yang menang, ia akan menjadi manusia yang luhur, arif dan bijaksana.
Setiap kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang, ia bagaikan bintik-bintik hitam yang mengotori dan megeraskan hatinya. Semakin ia berani melakukan maksiat, kedudukan Iblis bertmbah kuat. Dan... Iblis mengibarkan benderanya. Maka katika itulah hati akan menderita penyakit. Suatu penyakit yang berbahaya namun tidak dapat dirasai. Penyakit yang sukar ditemukan doktornya. Penyakit yang akan menghantarkan seseorang ke NERAKA!
Namun, kita tidak bersendirian. Kita punyai Allah. Kita punya Rasulullah. Kita juga punyai azimat Al-Quran dan As-sunnah. Ini semua jalan mujahadah bagi kita untuk terus membina kekuatan spritual dalam diri dalam mempersiapkan diri untuk berperang. Kerana peperangan ini sifatnya berterusan sampai ke hujung nyawa, oleh itu kita perlu sentiasa menguatkan iman sebagai senjata utama untuk mengalahkan tentera syaitan yang sentiasa bermaharajalela dalam jiwa kita. Ya, kita memang lemah. Tidak berdaya. Tidak punya kekuatan. Tidak ada sumber kekuatan. Yang ada semua itu adalah Pencipta kekuatan dan segala sumber kekuatan ada padaNya. Jadi, sebagai manusia yang lemah, bergantung haraplah padaNya selalu. Mohonlah sumber kekuatan dariNya, kerana Dia sahaja yang mampu membantu kita yang serba lemah ini.
Allah itu sifatnya "as-Somad". Firman Allah (bermaksud),
"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."
(al-Ikhlas, 2)
Oleh itu, jangan dirisaukan. Selagi kita punyai iman, kepada Dialah kita memohon sebarang hajat, tidak kepada makhlukNya. Moga Allah perbaiki gumpalan darah yang bernama "hati" dalam diri kita ini. Moga, dengan baik hati ini, akan baiklah jasad dan keseluruhan ruhani dan jasmani kita dalam menghadapi segala ujian yang diberikan.
Allahuakbar! Wallahua'alam.
al-faqir kame al-gajusi, 18:27pm
No comments:
Post a Comment