Wednesday, April 28, 2010

Berhentilah MENCARI...Mulalah MENJADI

“Saya sedar saya tidaklah sehebat Fatimah, sebab itu saya perlukan suami yang soleh seperti Ali untuk membimbing saya.”


Semua sibuk mencari. Jika sudah jumpa, mudahkah untuk mengekalkannya?

Sekiranya kita bertemu dengan pasangan hidup semasa duduk dalam suasana usrah. Alhamdulillah, imejnya berjubah dan bertudung labuh. Tetapi mampukah kita mengekalkan isteri kita pada benchmark solehah seperti itu di sepanjang alam rumah tangga? Dia mungkin akan diubah oleh faktor suasana kerja, dia mungkin akan diubah apabila kembali ke pangkuan keluarga, dia mungkin berubah atas banyak pengaruh, atau paling utama, dia mungkin berubah kerana dia memang berubah.


Maka mampukah kebahagiaan dan kesempurnaan rumahtangga dipertahankan, jika suami meletakkan kesempurnaan itu ialah pada apa yang isteri buat dan tidak buat, jadi atau tidak jadi?

Kita mahu mencari pasangan hidup yang soleh, dan kita menemuinya di dalam suasana semua lelaki nampak sempurna. Semasa bercinta, dialah Ultraman, dialah Gaban. Tetapi siapa sangka, selepas berumahtangga, Ultraman berubah menjadi raksasa.

Jika bahagia dan sempurnanya rumahtangga ialah pada apa yang suami buat atau apa yang isteri buat, kita akan hidup dan mati dalam pencarian. Pencarian yang tidak berkesudahan. ..

Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.


Bertemu dengan yang solehah, belum tentu solehahnya akan kekal. Bertemu dengan yang soleh, solehnya mungkin boleh berubah… kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon, dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbang untuk berumahtangga dengan pasangan ‘itu’ walaupun mungkin tidak 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya.

Oleh itu, seharusnya dan semestinya kita berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, dan bukannya untuk MENCARI.

(dipetik web seorang sahabat)

moga ada manfaatnya bagi yg sudi berfikir dan yg sudi mengambil manfaat!

wallahu a'alam....

al-faqir kame al-gajusi, 16:00pm, 28Apr2010

No comments:

Post a Comment